Aku tidak pernah menadah untuk meminta, sebaliknya aku selalu memberi. Aku tidak terlalu berharap namun aku cuba berusaha sedaya upaya. Dan aku pula tidak pernah untuk berputus asa untuk berusaha. Walau kadangkala ianya menyakitkan, namun aku tetap berusaha. Aku pun tidak tahu mengapa. Mungkin naluri hati ini yang kuat. Entah. Lebih menyakitkan apabila ianya dekat dengan aku. Dan kadang-kadang aku hanya memekakkan telinga dan membutakan mata. Namun jauh di sudut hati, amat perit.
Hari demi hari, aku masih lagi belajar tentang keikhlasan. Aku cuba menjadi seikhlas mungkin. Kerana dengan keikhlasan, kita akan menjadi tenang. Dan ketenangan itulah yang aku cari. Kadangkala aku tidak mampu untuk mengerti apa itu ikhlas. Kadangkala juga, dalam mencari pengertiannya, boleh jadi teramat perit untuk dihadapi. Namun kalau difikirkan semula, keperitan yang dialami itulah yang mengajar kita erti keikhlasan. Apa yang aku rasa adalah keikhlasan hadir apabila kita memberi tanpa mengharapkan sesuatu untuk kembali.
Aku pun semakin bingung dengan semua itu. Apa yang aku hendakkan sebenarnya? Apa yang mereka hendakkan sebenarnya? Mengapa kita perlu mencari jalan yang susah dan menjadikan segalanya ‘complicated’ ? Mengapa masih ada lagi yang terlalu memandang perkara kecil sehingga menjadikannya sebagai suatu perkara yang besar? Mengapa masih ada lagi yang terlalu asyik memandang keburukan kecilĀ berbanding kebaikan? Adakah kerana hati yang buta, mata yang enggan memandang atau telinga yang sengaja dipekakkan?
Aku juga terfikir apakah salah aku, apakah dosa aku diperlakukan sebegini. Mengapa ianya terlalu susah untuk aku kecapi. Sudah aku usahakan yang terbaik namun selalu menemui jalan buntu. Bukan sahaja jalan buntu, malah jalan yang tidak tahu ke mana arahnya. Boleh juga diibaratkan sebagai sebuah jalan raya yang ada tanda arah ‘Stesen Minyak di hadapan’‘, tetapi tidak jumpa-jumpa stesen minyak tersebut walaupun mengikuti jalan yang lurus dan betul.
Dan aku pula tidak boleh berkata apa-apa. Dalam keadaan sebegini, mahu saja aku pergi sejauh-jauhnya, supaya yang dekat dapat dijauhkan. Tetapi aku harus berdepan dengan realiti. Walaupun mata ini selalu memandang, hati ini selalu merasa dan telinga ini selalu mendengar, inilah jalan yang aku pilih dan aku harus tempuhi walau apa jua cabaran yang dihadapi. Walau sakit macam mana pun, ini tetap jalan kehidupan aku yang Allah uji demi masa depan. Aku harus sentiasa bersangka baik terhadap segala ujianNya. Aku hanya menanti dan berharap untuk suatu perkara yang tidak pasti. Dan aku juga ingin sekali memperbetulkan segala tanggapan yang tidak betul. Aku harus memperjelaskannya dengan sebaik mungkin. Sebab itu aku tidak suka orang beranggapan aku yang bukan-bukan, kelak nanti menyusahkan diri sendiri dan orang lain.
Aku hanya seorang manusia biasa yang mempunyai banyak kelemahan dan tidak sempurna. Tetapi dengan kelemahan itu yang aku banyak pelajari erti kehidupan. Learn from mistakes. Jangan berlari ke arah matahari terbenam, kelak akan malap. Berlarilah ke arah matahari terbit, kelak akan terang.
Akhirnya aku akan pergi juga ke Jakarta & Bandung pada 25 – 29 Oktober 2008 ini. Tiket sudah dibeli dan hanya perlu membawa diri dengan harapan dapat bertemu atau merasai hikmah di sebalik apa yang berlaku. Walau apapun terjadi, aku tetap aku. Jadi, maafkan aku bila diriku ini tidak sempurna, walaupun dengan ketidaksempurnaan inilah kita bertemu.